KEHIDUPAN&HUBUNGAN
SENAMAN UNTUK VETERAN
Umur bukan penghalang untuk kita kekal aktif kerana ada banyak senaman atau aktiviti yang boleh kita sertai. Bersenam juga tidak semestinya kita perlu melompat dan berlari untuk mengeluarkan peluh. Saat anda duduk bersahaja pun sudah boleh membantu menegangkan otot dan kekal sihat, tapi biar kena dengan caranya.
YOGA
Asalkan anda mempunyai lokasi yang selesa dan aman, anda sudah boleh melakukan senaman ini. Bila terfikir tentang yoga, anda tidak perlulah membuat postur yang tidak biasa dan tidak mampu dibuat seperti berdiri di atas tangan atau badan membentuk huruf V. Cukup sekadar anda duduk bersila dengan merapatkan tapak kaki antara satu sama lain sambil merendahkan badan ke bawah atau pun duduk dengan sebelah kaki dilunjurkan manakala sebelah kaki lagi seolah gaya bersila.
Dengan melakukan proses ini berulang kali, secara tidak langsung membantu mengelakkan masalah kesakitan yang biasa timbul di bahagian bahu, pinggang dan belakang akibat kesan tegangan. Tambahan pula, ia merupakan senaman impak rendah yang lembut ke atas sendi dan otot.
Ramai yang mencetuskan kontroversi bahawa yoga ini berkait rapat dengan amalan agama hindu. Sebenarnya sukan ini boleh dilakukan dengan hanya mengamalkan pergerakan, postur dan pernafasan tanpa melibatkan meditasi dan mantera.
BERKEBUN
Mencabut rumput yang tumbuh mengganggu tanaman atau bunga kesayangan anda juga boleh membantu membakar kalori. Menuju ke paip lantas menyiram bunga sambil berjalan juga serba-sedikit membantu anda mengeluarkan peluh. Jika anda adatenaga tambahan, tidak salah jika anda mahu mengangkat pasu-pasu ringan dengan cara merendahkan badan. Membongkok ketika mengangkat barang bukanlah kaedah postur yang betul. Oleh itu, jika anda mahu mengalih pasu, pastikan anda merendahkan badan dan bukannya membongkok!
Tolak tepi cangkul yang berat, cukup sekadar anda menggunakan peralatan kecil yang ringkas seperti skop kecil. Membersihkan halaman rumah dengan mengais rumput dan daun kering setiap petang boleh membantu anda mengeluarkan peluh.
POCO POCO
Melakukan tarian poco-poco di dalam rumah tidak ada salahnya. Elak rasa malu kerana anda sendiri yang menentukan kesihatan anda. Lagipun, anda bukannya berpoco-poco di luar rumah. Ajak suami, isteri, anak atau cucu menari poco-poco kerana gerakan tarian ini merupakan satu senaman alternatif yang menyeronokkan, santai dan tidak membosankan malah bertepatan dengan amalan gaya hidup sihat.
Ada banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan oleh anda untuk kekal cergas. Tidak mampu melompat, berlari, mengangkat benda berat atau bermain badminton, bukan bermakna anda hanya perlu duduk di rumah. Senaman di atas boleh membantu, naik turun tangga juga boleh membakar banyak kalori dan jangan terkejut bahawa dengan keaktifan ini juga mampu membantu mengelakkan anda menjadi cepat pelupa.
Bersenamlah selagi mampu demi kesihatan tubuh badan meskipun ketika melakukan aktiviti atau rutin harian. Oh ya, berkenaan tarian poco-poco tadi jangan pasang lagu terlalu kuat ya. Terperanjat pula jiran anda!
No comments:
Post a Comment